....::KALAMUN MINNI::....

"Sebaik-baik perhiasan di dunia adalah wanita yang solehah dan wanita solehah itu tidak memandang dan tidak dipandang''
-Aish SaFa-

Wednesday, 15 January 2014

MENCARI DAMAI YANG HILANG


Fikiran mula serabut. Hati mula terasa kacau. Jiwa mula meracau. Seakan-akan sesuatu mula hilang. Hilang dari sudut hati yang paling dalam. Seseuatu yang sangat berharga. Puas aku selidiki. Puas aku mencari. Dan aku terlelap seketika. Tapi lelapku tidak lena seperti sebelumnya. Dua jam aku tidur , aku terjaga. Bangun! Segera ku ucapkan kalimah hamdallah itu. Memberikan aku peluang untuk berjaga dari tidur yang selamanya. Memberi peluang untuk aku bermuhasabah diri. Aku cuba melenakan mata. Tapi perasaan gundah mula menyapa tangkai hati. Allah, apakah semua ini. Terdetik jauh dari sudut hati, Allah masih ingat aku. Ya! Dia tidak pernah lupakan aku. Tidak!

Tiba-tiba aku didatangi perasaan sayu. Entah! Sedih. Datang tanpa aku undang. Aku sedih kerana hati aku tak mampu bisa tenang setenang nama yang Umi berikan kepadaku. Padahal aku sentiasa mencari ketenangan. Mencari bahagia. Aku sedih sehingga air mataku mudah sekali merembes keluar dari kelopak mataku yang sudah lama bertakung. Entah! Sayunya. Otakku mula bermain madah. Mula cuba menterjemah rasa di hati. Akhirnya aku menulis di dinding laman2 sosialku. Suka benar aku meluahkan perasaan dengan bentuk penulisan. Ya! Kerana dengan cara itu segala beban di jiwa dapat dileraikan.

Aku sedar, rupanya selama ini hati aku kotor kembali. Penat aku menjaga selama ini dengan begitu rapi. Tiba-tiba sahaja aku cemari ia kembali. Astaghfirullah. Aku sudah jauh. Aku sudah lalai. Aku sedih ya Allah. Sangat-sangat sedih. Patutlah sejak akhir-akhir ini aku tak mampu menulis dengan mata pena dakwah. Patutlah segala idea mudah terbeku dan terlekat di kotak fikiran tanpa mampu aku ukirkan di blog kesayanganku ini. Rupanya hati aku sudah tercemar! Kalau begitu, mana mungkin aku mampu menulis dengan hati yang suci. Mana mungkin penulisan ku ini mampu sampai terus kepada pembaca. Ah, aku gagal. Gagal menjadi da'ie. 

Oh hati, lapangkanlah dari segala yang membawa kebinasaan kepada mu. Jangan sesekali kau binasakan seketul daging yang akan merosakkan segalanya. Carilah kembali kejernihan hati. Jangan terus leka dan lalai. Hidup ini sementara. Yang kekal adalah di sana. Tinggalkan sebentar keseronokan dunia. Ia hanyalah fana semata-mata. Carilah yang kekal abadi. Hati yang bersih itu adalah yang jauh dari maksiat padanya.Rupanya aku sudah jauh kembali dari Dia. Allah, aku tahu kau tidak pernah tinggalkan aku. Maka aku ingin sekali kembali pulang kepadaMu. Ingin sekali!

Allah, maafkan aku andai aku turut membawa kelalaian kepada hmabaMu yang itu juga. Bukan salahnya dia. Tapi aku cuba meletakkan kesalahan ini pada aku. Aku yang tidak teguh di jalan dakwah ku. Aku yang mudah rapuh dalam meniti jambatan mengapai mardhatillahMu. Biarlah kesalahan ini Kau bebankan kepada aku. Kerana aku yang tersangat lemah. Padahal aku boleh bertegas dalam prinsipku. Tapi aku goyahkan. Ah Iman, kenapa sangat nipis. Jom mujahadah kembali. Masih belum ada istilah terlambat bagi yang dibukakan pintu hidayah. Tidak pernah.

Tikar sejadah seolah-seolah tersenyum gembira terhadapku. Seolah sudah bersedia membuat 'dating' lama kami. Ya, dulu aku kerap ber'dating' dengannya. Tersangat kerap aku meluahkan rasa, memanjakan diri berkongsi masalah. Semuanya aku luahkan. Segala rahsiaku menjadi rahsianya juga. Sekarang aku nampak dia bersendirian. Kenapa aku tidak setia pada dia setiap malam. Dan malam tadi, aku pergi menemuinya. Menyata kekesalan yang terbit jauh dari sanubari aku. Dan janjiku, cuba menjadi sahabat yang setia buatnya untuk sentiasa bertemu dengan kekasih agung ku.

Dan sekarang, hati aku jadi lapang kembali. Oh tuhan! Terima kasih kerana menyedarkan ku malam tadi sehinggalah aku mencari dan belajar untuk tidak terlalu lalai. :') Subuh sudah pun menyising. Terima kasih atas malam yang indah. Bersama kekasih yang abadi. Yang belum pasti, aku doakan yang terbaik. Sungguh aku mahu menjaga dan kembali ke arah fitrah yang lebih suci. 

"Sepi bukan bererti hilang"

"Diam bukan bererti lupa"

"Jauh bukan beerti putus"


P/s: tak sempurna. kadang2 saya lalai dan hanyut. tapi saya takkan hanyut untuk selamanya. Moga hidayah terus bersama saya. Dan saya sangat mencintai diri kita dengan sebenar-benarnya. Jawapan  kepada kedamaian saya yang hilang. T_T

Catatan,
Aish SaFa
setenang nama yang diberi